Isnin, 11 Julai 2011

Penggunaan "ia" dalam karangan pelajar

Salam ukhwah buat semua,....bertemu kembali di dalam blog saya setelah sekian lama tidak dicoret-coretkan mengenai pandangan bahasa. Kini, ada satu perkara ingin berkongsi ilmu mengenai penggunaan "ia". Semasa saya menyemak karangan pelajar didapati mereka gemar menggunakan perkataan "ia" bagi merujuk kata  ganti nama bagi benda misalnya (tempat percutian yang menarik. Ia). Di sini, ingin saya menjentik sedikit mengenai penggunaan kata ganti nama "ia".Kata ganti nama "ia" asalnya daripada perkataan "Dia". Oleh itu, perkataan "ia" hanya merujuk kepada manusia sahaja..setakat itu sahaja, coretan saya di pagi yang mulia ini. Bertemu kita di lain hari...Wassalam...

Isnin, 14 Mac 2011

penggunaan dialek menerusi video

indahnya bahasa di negara kita yang terdiri daripada pelbagai dialek. mari merehatkan minda dengan menonton video ini.

Jumaat, 11 Mac 2011

penggunaan peribahasa dalam teks sastera

Assalammualaikum semua dan salam sejahtera, apa khabar? hari ini saya ingin berkongsi mengenai peribahasa dalam kehidupan. pagi tadi saya telah membaca sebuah teks sastera iaitu "Drama Arah ke mana". di dalam teks ini banyak nilai pengajaran yang dapat menyedarkan masyarakat dalam tanggungjawab mendidik anak-anak . perkara yang menarik di dalam teks ini ialah penggunaan peribahasa melayu dalam teks tersebut dapat memberi manfaat kepada generasi muda iaitu  mengetahui peribahasa melayu. misalnya

         ibarat kain putih yang bersih
         melentur buluh biar dari rebungnya

 Tambahan pula, generasi sekarang kian lupa pada asal usul dan budaya mereka malah lebih mengagungkan budaya barat. bukankah budaya dan adat kita sebagai masyarakat melayu lagi indak dan unik. oleh itu, kekalkanlah usaha kita agar penggunaan peribahasa dalam kehidupan seharian akan kekal selamanya,..

Khamis, 10 Mac 2011

pengajaran guru

salam sejahtera semua, hari ini saya ingin berkongsi mengenai pendapat saya sewaktu melihat pengajaran guru yang dilakukan oleh rakan saya dalam kursus KPD, di sini ingin saya mencuit sedikit mengenai bahasa guru sewaktu mengajar di mana mereka perlu selaras kan penggunaan kata panggilan diri sewaktu mengajar. mereka tidak boleh bercampur-campur kata panggilan cikgu dan saya, sebagai contoh, cikgu hendak kamu... setelah itu, saya hendak... sepatutnya, pada pandangan saya sekiranya ingin menggunakan panggilan cikgu maka haruslah terus dengan panggilan tersebut,..sedikit cuitan dari saya untuk kesedaran bersama dalam menjadi pendidik yang berketrampilan.wassalam..

Selasa, 8 Mac 2011

pengurusan mesyuarat yang berkesan

Salam sejahtera semua, di sini saya ingin berkongsi mengenai pengurusan mesyuarat yang berkesan seperti yang dilihat oleh saya pada hari ini, di mana mesyuarat tersebut dimulakan dengan bacaan doa. jarang sekali saya melihat bacaan doa dilakukan sewaktu mengadakan mesyuarat. Seterusnya, sesi pengenalan diri berjalan dengan lancar dengan adanya pembuka bicara dan pengenalan diri apabila ingin mengemukan usul serta menutup mesyuarat dengan bacaan doa sekali lagi. Pada pendapat saya semua perkara ini wajar dijadikan contoh yang baik sewaktu mengadakan mesyuarat.

Khamis, 3 Mac 2011

bahasa kita budaya kita

Salam perpaduan dan salam satu malaysia, hari ini saya ingin berkongsi sedikit cerita mengenai budaya kita bahasa kita. mengapa saya berkata begitu, Hal demikian kerana baru-baru ini saya berurusan di kaunter yang tempahan di mana penyambut tetamu tersebut merupakan seorang berbangsa india, saya begitu tertarik dengan kata-katanya iaitu penggunaan bahasa Melayu beliau sangat baik, malah kata-katanya sangat ramah dan sopan, inilah budaya yang seharusnya diamalkan oleh masyarakat kita pada hari ini. hal ini memperlihatkan indahnya bahasa kita dan budaya kita sebagai rakyat Malaysia. akhir sekali saya seronok berurusan dengan beliau. wassalam...

Rabu, 2 Mac 2011

kesalahan penggunaan Bahasa melayu

seringkali kita melihat kesalahan penggunaan Bahasa Melayu bukan sahaja dituturkan malah terdapat juga kesalahan ejaan di papan-papan tanda, papan perniagaan. mengapakah ini terjadi? Hal ini melambangkan kealpaan dan kelalaian kita dalam menggunakan bahasa dengan betul. Renung-renungkan..

Isnin, 28 Februari 2011

ucapan mesra dan sopan

salam sejahtera semua, pagi ini saya ingin memuji rakan sebilik saya. hal ini kerana tiap kali sama ada saya ingin keluar atau pergi ke kuliah ungkapan sering kami amalkan ialah "pergi dulu ye". ucapan ini dapat mengeratkan hubungan pada pendapat saya. dapat dilihat peranan bahasa penting dalam komunikasi seharian.

Jumaat, 25 Februari 2011

Indah Bahasa menerusi Dialek.

Salam sejahtera semua, penat rasanya pulang dari bercuti namun ingin berkongsi sedikit cerita mengenai dialek. sewaktu bercuti pelbagai ragam manusia dapat dilihat, terdapat banyak keluarga yang datang dari negeri-negeri yang berlainan. sewaktu saya ingin bergambar dengan seekor kuda, datang sekeluarga yang bercakap mengikut dialek kelantan ingin menangkap gambar di tempat saya. di sini dapatlah saya mempelajari bahasa lain selain bahasa negeri saya sendiri. Begitu juga sewaktu saya berada di kolam, terdapat beberapa wanita yang bercakap dialek utara. Terdetik pada fikiran saya indahnya Malaysia yang kaya dengan pelbagai bahasa mengikut negeri dan bangsa.

     nota: mari kita ketahui sedikit ilmu mengenai dialek,
Menurut Nik Safiah Karim, 1988. bahasa melayu mempunyai banyak dialek yang berbeza dari segi sebutan, perbendaharaan kata dan tatabahasa. Manakala, Abdul Hamid Mahmood, 2006 menyatakan dialek iailah variasi satu bahasa tertentu yang dituturkan oleh sekumpulan penutur dalam satu-satu masyarakat bahasa.

contoh dialek:

  1. bebal (kedah) : cepat marah, tidak sabar.
  2.  Acok (kelantan) : tempat untuk berjemur

Khamis, 24 Februari 2011

belajar kosa kata baharu

Hari ini saya dapat mengetahui 1 kosa kata dari dialek kelantan iaitu "pongoh" iaitu sombong. namun demikian saya tidak mengetahui ejaan sebenar bagi kosa kata tersebut, hanya sekadar berkongsi dengan teman ye. terima kasih..

Rabu, 23 Februari 2011

Bahasa Melayu Tinggi

pada hari rabu, saya telah mengikuti seminar mengenai Bahasa Melayu Tinggi, menurut Prof  di mana kita perlu menggunakan bahasa dengan betul kosa kata, nahu yang rapi bermaksud ada jeda, tanda baca, menggunakan kosa kata tertentu bermaksud pemilihan kata dan penggunaan kata ganti nama.

Jumaat, 18 Februari 2011

wajarkah ungkapan seperti itu?

salam perpaduan semua, baru-baru ini saya dalam perjalanan pulang ke rumah, terdapat dua orang pelajar perempuan yang duduk bersembang. Namun, perkara yang menarik perhatian saya adalah ungkapan "bengong" yang diujarkan oleh salah seorang rakannya. wajarkah, kita sebagai  bakal  seorang guru menggunakan ungkapan tersebut dan apakah pandangan orang lain yang turut mendengarnya.
      pada buah fikiran saya, bakal seorang guru tidak seharusnya menggunakan ungkapan tersebut. tambahan pula, sebagai seorang wanita yang seharusnya menjaga pertuturan adab dan kesopanan. bagaimanakah pula pandangan anda semua? saya tinggalkan persoalan ini..sekian terima kasih.

Khamis, 17 Februari 2011

kepentingan bahasa kita (bahasa melayu)

Assalammualaikum dan salam sejahtera semua, ingin saya berkongsi sedikit pengamatan saya terhadap penggunaan bahasa Melayu kini dalam kehidupan seharian tidak kira bangsa atau agama. saya melihat ramai anak muda pada zaman sekarang kurang mengamalkan bahasa melayu dalam komunikasi. mengapakah ini terjadi? sebagai contoh, sewaktu beratur untuk membuat pesanan makanan di restoran KFC baru-baru ini, saya melihat seorang ibu yang berbangsa melayu menuturkan bahasa inggeris dengan anaknya yang pada pandagan saya berumur 4 tahun, berbanding dengan bangsa cina di hadapan saya mengajar anaknya menuturkan bahasa melayu seperti panggilan "kakak" sewaktu saya senyum kepada budak kecil itu.
    
  mengapakah penggunaan Bahasa Melayu penting?
  • Bahasa Melayu dijadikan bahasa rasmi dan bahasa utama. Bahasa Melayu merupakan aspek penting bagi mencerminkan perpaduan sesebuah  Negara.
  • Hal ini kerana setiap kaum perlu menggunakan bahasa Melayu sebagai alat komunikasi dalam pergaulan mereka seharian mereka dengan kaum lain.
  • selain itu, kita perlu mengekalkan bahasa ibunda kita, penggunaan bahasa Melayu dalam kehidupan memudahkan kita berurusan malah pelancong luar akan lebih tertarik dengan bahasa kita kerana dituturkan oleh pelbagai kaum dan bangsa.

Rabu, 16 Februari 2011

berfikir sejenak dengan puisi " dosa semalam"

DOSA SEMALAM
Semalam,
Masih tergambar detik itu,
Hujan renyai membasahi gadis itu,
Lemah tangannya menyeka cucuran airmata,
Namun, apakan daya,
Bukanlah kehendaknya.

Malam sepi menjadi saksi,
Detik pisahnya ibu dan bayi suci,
Dengan pilu rasanya di hati,
Kerna terpaksa bukan kerelaan sendiri,
Meninggalkan bayi yang dikandungi
Dek kerana keterlanjuran diri,
Malu masyarakat memandang keji.

Kini,
Hidupnya  tidak bererti.
Di sebalik tiang, disaluti besi,
Penyesalan beraja di dalam hati,
Namun, gadis itu redhai,
Menyesali dosa semalam amat bererti,
Keseronokan hidupnya hilang berlalu pergi.
(Ayu, bahtera arkib)

     moral: masyarakat tidak seharusnya mencaci atau mengeji remaja yang telah terpesong sepatutnya mereka membantunya ke jalan yang benar. "mencaci" dan "mengeji" merupakan bahasa yang boleh menyakiti malah menjatuhkan motivasi dalam diri seseorang.

Selasa, 15 Februari 2011

majlis protokol 1( pengacara majlis)

salam sejahtera semua, hari ini saya ingin berkongsi sedikit ilmu mengenai pengurusan majlis protokol. saya telah membaca satu buku mengenai majlis protokol. di sini saya berkongsi mengenai peranan pengacara majlis iaitu,
  1. pengacara majlis harus bersedia sekurang-kurangnya setengah jam sebelum majlis bermula,
  2. menguji pembesar suara,
  3. membuat pengumuman penting,
  4. mencatat kehadiran tetamu penting, mengumumkan ketibaan tetamu khas dengan menyebut nama gelaran, jawatan serta gelaran isteri jika isteri turut hadir,
  5. menyampaikan pengumuman mengikut teks yang disediakan berdasarkan ataur cara majlis yang telah disemak dengan sempurna,
  6. dilarang membuat perlakuan seperti seorang pelawak atau artis dan menonjolkan diri disepanjang masa mengacarakan majlis
  7. dan menutup majlis dengan kata-kata sopan atau kata-kata manis.
diharapkan sedikit ilmu ini dapat membantu serba sedikit dalam pengurusan kita sewaktu mengendalikan majlis protokol.

Isnin, 14 Februari 2011

Di manakah budi bahasa kita?

Salam sejahtera, topik hari ini adalah di manakah budi bahasa kita? apabila kita berurusan di kaunter pertanyaan seringkali kita berasa tidak puas hati dengan layanan mereka. Mengapakah ini terjadi sebagai contoh, baru-baru ini saya berurusan di sebuah fakulti, cara percakapan kakitangan tersebut sangat menghampakan malah mengguris hati saya. Justeru terdetik di dalam hati di manakah budi bahasa kita? Oleh itu, kita sebagai insan biasa perlulah fikir di manakah adab dan kesopanan kita sewaktu berbicara, bukankah budi bahasa kita melambangkan perihal kita. Marilah teman-teman kita renungkan...sekian. wassalam.

Jumaat, 11 Februari 2011

hayati seketika ciptaan saya

PUISI BUAT SUAMI
Suamiku
Hadirnya dirimu dalam hidupku
Telah membawa sirnamu
menerangi kegelapan dalam hidupku
mengenggam erat memimpin tanganku
menuju ke pintu kebahagiaan dirimu dan diriku.

Suamiku
Agungnya ketabahan dan kesabaranmu
Cekalnya akan dirimu
Melayani kedegilan dan kerenahku
Betapa aku hargai dan sanjungi sepanjang hidupku

Suamiku
Tika aku bersedih dan terasa pilu,
Engkau hadir dan menghiburkan hatiku
Sesungguhnya aku mengkagumi sikapmu itu
Wahai,  suamiku.

Suamiku
Kasih sayangmu tak ternilai
Ibarat deras mengalirnya air sungai
Begitu jugalah sayangmu terhadap diriku ini

Suamiku,
Ingin ku katakan disini
Bahawa aku bahagia sekali
Di sampingmu dan di sisi
Walaupun penuh duri
Namun kerna kasih  yang suci
Dapat kita mengharungi

Suamiku
Semoga hubungan kita ini
Berkekalan ke akhir hayat nanti
 Di redhai dan dirahmati
Amin...

-Nukilan Ayu-

Khamis, 10 Februari 2011

Harus berbudi di jalan raya

salam satu malaysia semua, hari ini saya ingin berkongsi mengenai sikap pengguna jalan raya terutama di dalam kawasan kampus di mana mereka seakan-akan tidak menghiraukan pengguna jalan raya yang lain. sebagai contoh apabila mereka hendak memasuki satu lorong mereka tidak memberi isyarat. hal ini dapat menimbulkan kemarahan pengguna jalan raya yang lain khususnya pejalan kaki. seharusnya mereka memupuk sikap bertimbang rasa dan berbudi bahasa sewaktu di jalan raya. Bukankah itu lebih elok? renung-renungkan...

berkongsi ilmu mengenai "ciri-ciri wacana (tautan)"

pada hari ini, saya mengulas sedikit mengenai satu ciri wacana iaitu tautan atau kohesi. Secara umumnya, Menurut Beaurande dan Dressler, terdapat tujuh ciri ketekstualan yang perlu dipenuhi untuk menghasilkan wacana yang utuh iaitu tautan, runtutan, penerimaan, maklumat, keadaan dan interteks. mari kita melihat apa itu kohesi. 
v  Tautan (kohesi)
·         Tautan bermaksud keserasian hubungan antara satu unsur linguistik dengan satu unsur linguistik yang lain dalam sesuatu wacana untuk menghasilkan wacana yang lengkap. Selain itu, tautan bermaksud kesepaduan dalam penulisan.
·         Keserasian hubungan ini lazimnya dilihat melalui hubungan antara suatu perkataan, frasa atau ayat, dengan perkataan, frasa atau ayat lain dalam wacana yang sama.
·         Dengan kata lain, wujudnya pertalian antara ayat dengan ayat, perenggan dengan perenggan lain dan isi dengan isi.
·         Tautan dapat mewujudkan kesinambungan antara sebahagian teks dengan sebahagian teks yang lain sehingga membentuk satu kesatuan.
·         Contohnya,
Muhammad, Fatimah dan Kasim ke perpustakaan.
Mereka ke sana untuk meminjam buku.
·         Berdasarkan contoh di atas dapat dilihat tautan antara kedua-dua ayat tersebut iaitu perkataan mereka dalam ayat kedua merujuk kepada Muhammad, Fatimah dan Kasim manakala perkataan sana merujuk kepada perpustakaan. Kedua dua ayat tersebut dianggap wacana kerana dapat difahami dan bermakna.
·         Kohesi juga merupakan wadah ayat-ayat yang disusun secara padu dan juga padat. Hal ini bermaksud kohesi merupakan hubungan di anatara ayat di dalam sebuah wacana tidak kira sama ada dari segi gramatikal mahupun leksikal.
·         Menurut Beaugrande dan Dressler (1981:80) pula menyatakan bahawa tautan dalam frasa, klausa dan ayat lebih nyata berbanding antara unit-unit tersebut. Mereka memberikan enam ciri tautan iaitu:
Ø  Perulangan iaitu perulangan terus sesuatu linguistik
Ø  Pengulangan sebahagian iaitu pengulangan unsur yang sama dengan mengubah golongan unsur linguistik yang telah digunakan sebelumnya.
Ø  Paralelisme iaitu pengulangan struktur linguistik yang sama tetapi sama dengan unsur linguistik atau ujaran yang lain.
Ø  Parafrasa iaitu pengulangan isi atau wacana yang sama tetapi diganti dengan unsur yang lain.
Ø  Bentuk iaitu pro
Ø  Ellipsis iaitu pengulangan struktur linguistik dan unsur yang sama tetapi menghilang sebahagian daripada ujarannya.


Rabu, 9 Februari 2011

Bahasa Rojak

Assalammualaikum....Apa khabar? hari ini saya ingin berkongsi mengenai bahasa rojak. bahasa rojak boleh ditakrifkan sebagai percampuran pelbagai bahasa dalam satu pertuturan yang serupa. Bahasa rojak dianggap sebagai penggunaan bahasa yang tidak betul. Hal ini akan mencemarkan bahasa kita. Misalnya, Hari ini saya mendengar radio, terdapatnya penggunaan bahasa rojak iaitu percampuran bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris ( so belakang rumah i... so kita sebagai...)
      Oleh itu, sebagai penutur bahasa yang budiman, kita seharusnya menuturkan bahasa tanpa ada percampuran pelbagai bahasa dalam kita berkomunikasi.
                                                  bahasa kita ibarat bunga yang putih (suci)

Selasa, 8 Februari 2011

kasih seorang teman

Hai, semua..lama sudah kita bercuti sempena tahun baru cina. Hari ini saya ingin berkongsi pengalaman sewaktu cuti baru-baru ini. Pada 3 februari 2011, saya telah demam, pada ketika itu saya dan seorang teman baru balik dari johor bercuti selama tiga hari di sana. Sewaktu saya demam, teman saya sangat prihatin dan baik menjaga saya. di sini dapat dilihat budi dan kasih seorang teman tiada nilainya yang dapat dilihat dari segi perlakuannya sewaktu menjaga saya amat ikhlas dan dapat dilihat menerusi bahasa badan yang ditunjukkan oleh teman saya. Terima kasih teman, jasamu dan kasihmu kekal abadi dalam hidup ini buat selamanya.
        Sedikit coretan, bahasa badan juga disebut komunikasi bukan lisan yang meliputi gerak geri tubuh badan seperti mata, tangan, kepala dan lain-lain.

Isnin, 7 Februari 2011

"kakak"

Pada hari ini saya ingin menyatakan pentingnya didikan ibu bapa terhadapnya sewaktu mereka kecil lagi. Baru-baru ini, saya dan teman  telah balik ke kampung menaiki kereta api. Sewaktu di dalam kereta api tersebut, terdapatnya beberapa orang kanak-kanak berbangsa cina dan seorang budak cina dalam lingkungan umur 2 tahun. Ibu budak kecil tersebut telah mengajar anaknya memanggil kami "kakak" dan kanak-kanak cina yang lain turut memanggil kami dengan panggilan tersebut. Apa yang ingin dikatakan disini ialah walaupun berbangsa berlainan namun pengajaran ibu bapa terhadap anak sewaktu kecil amat bermakna dalam memberikan ilmu kepada mereka. Hal ini kerana, membiasakan  diri anak-anak dengan pelbagai kosa- kata selain daripada bahasa ibunda mereka dapat membantu mereka dalam menguasai pelbagai bahasa terutamanya bahasa Melayu yang seiring dengan tumbesaran mereka. Secara tidak langsung, mereka dapat mempelajari bahasa Melayu dengan mudah kerana pepetah melayu menyebut "melentur buluh biarlah dari rebungnya. Sekian..

Jumaat, 21 Januari 2011

Diskusi novel "interlok"

Salam Muhibah semua, apa khabar?. Hari ini saya telah menghadiri satu diskusi di mana diskusi  isu yang sangat hebat diperkatakan pada hari ini. Sepanjang berlangsungnya sesi diskusi tersebut dapat dilihat gaya pembentang 3 orang panel yang berpengalaman saya kira. begitu juga dengan sesi soal jawab bersama khalayak yang turut serta. Namun demikian, terdapat beberapa pelajar yang menggunakan "bahasa rojak" ketika menanyakan soalan kepada ahli panel. Saya berpendapat, lebih elok sekiranya kita berbahasa Melayu sepenuhnya. Hal ini tidaklah mencemarkan bahasa kita. Bagaimanakah pendapat anda?.  Keseluruhan dalam diskusi tersebut berjalan lancar dan saya dapat memiliki satu novel tersebut dengan harga pelajar.

Khamis, 20 Januari 2011

hargailah senyuman anda, penawar jiwa.

salam perpaduan, hari ini ingin saya mencuit fikiran anda dengan topik "senyuman". tidak salah kiranya kita memberi senyuman kepada orang lain. Wanita khasnya senyuman merupakan pemanis mereka dan penyejuk mata yang memandang. hari ini saya dan teman saya sedikit terasa hanya kerana senyuman. Kami makan di salah sebuah restoran di mana apabila pekerja wanita mengambil pesanan tanpa senyum dan hanya dengan wajah yang masam mencuka. Pada mulanya kami tidak ambil kisah akan tetapi apabila pesanan di hantar oleh wanita tersebut dengan cara dan tingkah lakunya yang tidak mesra, tidak senyum malah ucapan terima kasih kami tidak berbalas amat mengecewakan kami. Begitu juga ketika kami hendak membayar, sedikit senyum tidak terukir di wajahnya. Pada pandangan saya, tidak cantik wanita itu tanpa senyuman sekalipun mempunyai masalah atau penat dan sebagainya. Hakikatnya, senyuman juga merupakan salah satu bahasa (non- verbal). Justeru, apakah pandangan anda mengenai perkara ini?. wassalam..sekian.terima kasih..

Ahad, 16 Januari 2011

Berbudi bahasakah kita?

Salam semua, di sini saya ingin berkongsi sedikit coretan mengenai budi bahasa ketika berurusan dengan orang lain. mari kita sama-sama melihat dua situasi yang berbeza. Pada hari selasa (11 januari 2011)  saya telah menguruskan pengguguran kursus kerana subjek itu kekurangan pelajar iaitu kurang dari 10 orang. oleh itu, saya telah berurusan di bahagian akademik untuk pengguguran kursus tersebut dan meminta ditukarkan ke kelas satu lagi. akak yang menjaga kaunter di akademik memberi respon, bertanya "mengapa adik nak tukar" dan menuturkan dengan sopan. di sini saya memuji cara akak tersebut melayani pelajar walaupun ketika itu ramai pelajar yang hendak berurusan. setelah menyatakan sebab, akak tersebut meminta saya untuk memberitahu kepada fakulti agak mengabungkan kelas. Malangnya, ketika saya berurusan di pelajat fakulti pula, layanan sangat berbeza. Hal ini kerana, saya sangat terasa hati dengan layanan salah seorang pekerja di pejabat dengan nada agak sinis pada saya sehinggakan pekerja lain melihat saya apabila dia menyatakan " ini bukan masalah saya". kesimpulannya disini, sama-samalah kita merenungkan bagaimana budi bicara kita, di mana budi bahasa kita ketika kita berurusan walaupun kita ini hanyalah pelajar sahaja. Namun, hakikatnya kita tetap sama iaitu manusia biasa. oleh itu, kita harus melihat bahasa kita kerana kelak kita juga akan berurusan dengan orang lain. renung-renungkanlah..sekian..

Sabtu, 15 Januari 2011

adab berjual beli wajar dicontohi.

Salam perpaduan semua, di sini ingin saya berkongsi dengan anda semua,semalam, saya telah pergi jalan-jalan di kawasan jualan di KHAR, saya sangat suka dan melihat pelbagai aneka yang dijual. Hmm.. tp sayangnya, hendak membeli itu satu kehendak bukan keperluan memandangkan duit PTPTN belum masuk. Namun begitu, saya tertarik di satu kedai yang menjual kerongsang. Belik punya membelik, saya pun terpaut lalu membelinya setelah membuat pilihan. Perkara yang hendak saya tekan di sini adalah adab ketika berjual beli yang wajar dicontohi oleh penjual lain. Apakah perkara itu? pastinya tertanya-tanya bukan?          ucapan " saya jual ya" itulah dimaksudkan oleh saya. Lantas, saya membalasnya dengan senyuman sambil menjawab "saya beli, terima kasih".  Pada pandangan saya ucapan tersebut kurang diamalkan oleh peniaga kita pada hari ini khususnya orang melayu. bukankah dalam urusan jual beli menurut islam dalam perlu adanya "akad jual beli ". Bagi saya lagi manis jika diamalkan, bahasa kita juga menjadi indah dan penuh kesopanan. sekian, terima kasih.

Rabu, 12 Januari 2011

Nilai "terima kasih"

Salam ukhwah semua, budaya ucapan "terima kasih" ketika menuruni bas. Sememangnya kita melihat satu benda yang remeh. Namun, amat bermakna kepada pemandu bas. Hal ini kerana, pemandu tersebut rasa dihargai hanya kerana ucapan tersebut. Di kaca mata saya, budaya ini banyak diamalkan oleh pelajar UPSI. Oleh itu, wajarlah dikekalkan tidak semestinya kepada pemandu bas tetapi kepada sesiapa sahaja yang telah membantu ataupun setelah  kita menggunakan perkhidmatan mereka tidak kira masa, tempat dan siapa. Semoga catatan saya ini mengingatkan diri saya dan para pembaca semua agar memanfaatkan ucapan "terima kasih". Sekian..

Isnin, 10 Januari 2011

sosiolinguistik


 Berada di kelas Sosiolinguistik. belajar buat blog bersama rakan-rakan dan teman baik. di sini barulah kami tahu cara membuat blog.